Badminton

Lambakan hadiah di Festival Badminton Indonesia

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Apabila pemain tiba di Bali menjelang Festival Badminton Indonesia, begitu juga dengan hadiah daripada peminat. Hadiah berbentuk bunga, belon, kek, coklat, jambangan mi dan wang masih tiba hari demi hari tidak putus-putus.

Hotel The Westin Resort di Nusa Dua, tempat pemain dan jurulatih mereka menginap bagi tiga kejohanan berturut-turut menjadi pusat lambakan hadiah itu.

Kento Momota (Jepun), Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Lee Zii Jia (Malaysia), Anders Antonsen (Denmark), Lauren Smith (England) dan dua pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dan Kevin Sanjaya Sukamuljo adalah antara yang paling popular dalam kalangan peminat.

"Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini," kata Ginting yang kelihatan agak tergamam. Biasanya kami menerima beberapa bunga semasa kejohanan, tetapi ini benar-benar gila. Peminat terlalu pemurah dengan hadiah mereka."

Pemain beregu England, Lauren juga kagum dengan jumlah hadiah dihantar peminat kepadanya.

"Saya amat terharu dengan kemurahan hati dan kebaikan peminat yang saya lihat. Tiada kata-kata yang boleh saya gambarkan," katanya dalam laman Instagram.

Momota, pemain nombor satu dunia, yang sebelum ini menyatakan dia "sunyi" tanpa peminat di arena yang biasanya penuh sesak di Indonesia berkata: "Peminat Indonesia sangat pemurah dan baik kepada saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas pemberian mereka.'

Bintang beregu Thailand, Sapsiree turut meluahkan ucapan terima kasih kepada peminatnya."Galakan anda amat bermakna bagi saya, saya berterima kasih," katanya.

Pemenang dua pingat Sukan Olimpik, Pusarla V Sindhu dari India dihadiahkan sepasang pakaian tradisional Indonesia, gelang dan bunga.

"Baiknya mereka (peminat) terhadap kami, walaupun kami berada dalam gelembung sukan. Sungguh mengagumkan peminat dapat memberikan hadiah ini dan menunjukkan minat mereka terhadap sukan ini. Saya bagaikan tidak percaya mereka masih menghantar hadiah setiap hari."

Episod kedua Festival Badminton Indonesia bersambung dengan Terbuka Indonesia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali bermula hari ini dan diakhiri dengan Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF minggu depan.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 8:49pm
d