Badminton

Pearly-Thinaah hidupkan peluang

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kembali menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia apabila menewaskan pilihan pertama dari Thailand dalam aksi kedua peringkat Kumpulan A, hari ini.

Tampil penuh bertenaga, Pearly-Thinaah menang 23-21, 21-14 menewaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongja dalam aksi berlangsung selama 55 minit.

Kemenangan di luar jangkaan itu meniup semangat Thinaah yang sebelum ini mengakui masih lagi mencari rentak mendapatkan semula tahap keyakinannya.

"Satu perlawanan penuh emosi terutama selepas saya gagal memberikan aksi terbaik di beberapa kejohanan lalu sebab kurang keyakinan dengan diri sendiri.

"Saya masih lagi berusaha untuk dapatkan balik keyakinan dan motivasi dalam setiap permainan saya dan kemenangan ini sekurang-kurangnya mengembalikan semula tahap keyakinan saya," katanya.

Namun turun sebagai pemain 'underdog', Pearly-Thinaah mengakui mereka tidak menaruh harapan tinggi apabila berdepan lawan seterusnya iaitu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Inaapriyani Rahayu pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan misi perlu menang untuk layak ke separuh akhir.

"Kami tewas kepada mereka empat kali sebelum ini. Peluang untuk menang itu kurang. Tapi kami tak mahu fikir banyak hanya lakukan yang terbaik dan harap boleh buat seperti hari ini," kata Pearly.

Sementara itu perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah meraih kemenangan kedua peringkat kumpulan apabila menewaskan Toma Junior Popov, 21-13, 21-19.

Turut meneruskan rentak cemerlang adalah beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-17, 19-21, 21-16.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 6:41pm
d