Badminton

Kemenangan percuma curi tumpuan di Kejohanan Dunia

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Selain kejutan besar susulan kekalahan juara Olimpik, Viktor Axelsen di tangan pemain Singapura, Loh Kean Yew kelmarin, pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol mungkin boleh disenaraikan dalam Guinness World Record apabila terlalu banyak catatan kemenangan percuma atau walkover dilakar.

Undian acara perseorangan lelaki paling terjejas apabila lapan pemain mendapat kemenangan percuma ke pusingan kedua susulan penarikan diri lawan mereka kerana kecederaan mahupun kebimbangan mengenai penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Beregu lelaki dan beregu campuran masing-masing menyaksikan tujuh kemenangan percuma, beregu wanita lima dan perseorangan wanita tiga.

Gandingan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Volker mungkin pemain paling bertuah susulan penarikan diri itu kerana mereka layak terus ke pusingan ketiga tanpa mengeluarkan sebarang peluh di gelanggang pertandingan Polideportivo Carolina Marin.

Pada pusingan pertama mereka mendapat kemenangan percuma daripada beregu Guatemala, Jonathan Solis-Anibal Marroquin dan pada pusingan berikutnya bertemu pilihan keenam kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang terlebih dahulu menarik diri kerana kebimbangan terhadap Covid-19.

Ada juga pemain yang bertuah termasuk pemain negara mendapat laluan percuma secara bye namun ia berbeza dengan walkover kerana mereka tidak mempunyai lawan untuk ditentang pada pusingan itu.

Antara pemain ternama yang menarik diri termasuk keseluruhan skuad kebangsaan Indonesia, juara bertahan perseorangan lelaki Kento Momota dari Jepun, juara dunia tiga kali perseorangan wanita Carolina Marin dari Sepanyol dan beregu campuran veteran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Paling menyedihkan mungkin buat dua pemain adik beradik dari Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov yang terpaksa pulang ke negara mereka pada saat akhir kerana Covid-19.

Mereka tidak dapat bertanding kerana bapa mereka yang turut bertindak sebagai jurulatih Toma Popov disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebelum kejohanan bermula.

Kedua-dua pemain itu bagaimanapun negatif Covid-19.

"Selepas berbincang dengan bapa dan jurulatih skuad kebangsaan kami serta Persekutuan Badminton Perancis, kami memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan dan kembali ke Perancis.

Sudah tentu kami berasa amat sedih dengan situasi ini kerana ini adalah kejohanan dunia sulung buat kami.

"Kami membuat keputusan ini bagi menjaga keselamatan terutamanya bagi semua pemain, staf dan sukarelawan pada kejohanan kali ini," jelas Christo dalam laman Instagram miliknya. Bapanya terpaksa menghabiskan kuarantin selama 10 hari di Huelva sebelum dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 10:52am
d