Badminton

Joo Ven tak gentar juara dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven berdepan tugas getir pada pusingan kedua Terbuka India apabila bakal bertemu juara dunia, Loh Kean Yew.

Pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) itu nyata tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama selepas menewaskan wakil tuan rumah, Chirag Sen, 21-8, 21-7 hanya dalam tempoh 28 minit, hari ini.

Joo Ven yang ketika ini menduduki ranking ke-70, mengakui berpuas hati dengan prestasi dirinya pada perlawanan pertama kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu.

"Saya rasa lebih baik dan dapat mengeluarkan rentak permainan yang dimahukan. Untuk perlawanan seterusnya sememangnya lebih sukar. Saya perlu membuat persediaan lebih rapi pada pusingan kedua. Sejujurnya saya memang sangat teruja nak jumpa dengan dia (Kean Yew) sebab dia pun sebenarnya kawan saya," katanya yang muncul naib juara Terbuka Scotland tahun lalu.

Berbeza dengan Joo Ven, jaguh Singapura, Kean Yew terpaksa bekerja keras sebelum dapat menewaskan Xiaodong Sheng dari Kanada 16-21, 21-4, 21-13.

Beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula menewaskan gandingan tuan rumah, Ravikrishna PS-Sankar Udayakumar 21-19, 21-14.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara yang juga pilihan pertama kejohanan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke pusingan kedua apabila menewaskan wakil tuan rumah, Pratik Ranade-Kanika Kanwal 21-10 21-11.

Mengikut jejak langkah mereka adalah satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang turut menewaskan gandingan tuan rumah, M R Arjun-Treesa Jolly 21-11 21-6.

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 6:47pm
d