Badminton

Tze Yong benam Tommy Sugiarto

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong nyata tidak berasa gementar pada penampilan sulung di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 Terbuka India.

Pada pusingan pertama hari ini di New Delhi, Tze Yong mempamer aksi meyakinkan apabila menewaskan pemain lebih ternama, Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-16, 14-21, 21-5 dalam tempoh 55 minit.

Dengan kemenangan ke atas pilihan ketujuh kejohanan itu, Tze Yong bakal bertemu Lucas Claerbout di pusingan kedua.

Pemain dari Perancis itu mara selepas mengatasi wakil tuan rumah Priyanshu Rajawat 15-21, 21-17, 21-14.

Tze Yong sememangnya semakin mempamerkan aksi meyakinkan sejak kebelakangan ini sehingga mendapat perhatian bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Tahun lalu menyaksikan pemain kelahiran Johor itu berjaya merangkul tiga gelaran iaitu Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland.

Dia yang kini menghuni ranking ke-60 dunia turut mendapat perhatian apabila disenarai dalam skuad negara ke Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark tahun lalu.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 8:41pm
d