Badminton

Lagi positif Covid-19 pada Terbuka India

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 terus menjejaskan kejohanan badminton Terbuka India apabila dua pemain terpaksa menarik diri daripada undian utama acara beregu campuran di New Delhi, hari ini.

Pilihan kedua beregu campuran dari Russia, Rodion Alimov disahkan positif virus itu dan menarik diri bersama pasangannya Alina Davletova yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pada kejohanan bernilai AS$400,000 (RM1.67 juta) itu.

Keputusan itu bermakna beregu Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han yang baru saja melangsungkan perkahwinan mereka baru-baru ini melangkah ke final selepas mendapat kemenangan percuma.

Mereka akan bertemu pasangan negara, pilihan ketiga Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang mengejutkan beregu profesional dan pilihan utama Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam tiga set pada separuh akhir sebentar tadi.

"Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan bahawa seorang pemain daripada undian semasa diuji positif Covid-19 dan menarik diri daripada Terbuka India Yonex-Sunrise 2022," menurut badan induk badminton dunia BWF dalam media sosial.

"Pemain itu diuji positif susulan ujian RT-PCR mandatori yang dijalankan pada Jumaat (semalam). Pasangan beregunya dikenal pasti sebagai kontak rapat dan juga menarik diri daripada kejohanan. Lawan mereka menerima kemenangan percuma ke final," menurut badan induk badminton dunia BWF dalam media sosial.

Selain itu, juara perseorangan lelaki dunia Loh Kean Yew dari Singapura turut mendapat kemenangan percuma ke final esok apabila lawannya Brian Yang dari Kanada, yang juga rakan sepelatihnya di Dubai, menarik diri.

Tidak diketahui punca sebenar sama ada Yang menarik diri kerana positif Covid-19 atau mengalami kecederaan.

Satu lagi aksi separuh akhir beregu wanita membabitkan dua pasangan Russia, menyaksikan pilihan ketiga Anastasiia Akchurina-Olga Morozova mendapat kemenangan percuma daripada Ekaterina Malkova-Anastasiia Shapovalova.

Rabu lalu, seramai tujuh pemain India, termasuk pemenang pingat perak kejuaraan dunia, K Srikanth, terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu selepas disahkan positif virus susulan ujian pada Selasa.

Selain Srikanth, pemain lain adalah Ashwini Ponnappa, Ritika Rahul Thkar, Treesa Jolly, Mithun Manjunath, Simran Aman Singh dan Khushi Gupta.

Dianjurkan oleh Persatuan Badminton India, edisi Terbuka India 2022 diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton di Dewan Tertutup KD Jadhav.

Mengikut protokol Covid-19, semua pemain yang mengambil bahagian diuji setiap hari di hotel dan di luar stadium.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 6:21pm
d