Badminton

Siapa pilihan gandingan Liu Ying?

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pakar beregu campuran, Goh Liu Ying membuatkan peminat badminton dan warganet berteka-teki siapa yang akan bergandingan dengannya selepas ini susulan perpisahannya dengan gandingan lama Chan Peng Soon awal bulan lalu.

"Stay tune. Coming soon," tulisnya ringkas dalam perkongsian di laman Instagram sambil memuat naik dua keping gambar dia duduk sambil menanti giliran untuk bermain di dewan latihan.

Pemain berusia 32 tahun dari Melaka itu tidak memberikan sebarang bayangan siapa yang mahu dipilih menjadi pasangannya dalam usaha meneruskan karier badminton yang terhenti seketika selepas tiga bulan yang memenatkan hujung tahun lalu.

Kebanyakan peminat dan warganet mencalonkan rakan seperjuangan pemain bebas Goh V Shem dan bekas pemain beregu lelaki negara Tan Boon Heong, namun kedua-duanya sudah berusia ketika V Shem sebaya dengan Liu Ying manakala Boon Heong 34 tahun.

Jika dia mahu mengikut jejak langkah Peng Soon, yang kini berpasangan dengan pemain muda Valeree Siow dari Perak, Liu Ying sebenarnya boleh memilih salah seorang daripada pemain muda dalam kalangan pemain bebas.

Calon terbaik ketika ini buat pemenang pingat perak beregu campuran bersama Peng Soon pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 itu sama ada Low Juan Shen (28), Teo Ee Yi (28) atau Ong Yew Sin (26).

Juan Shen berpasangan dengan V Shem pada Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo, Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia tahun lalu namun mereka gagal mencari keserasian apabila tewas semuanya pada pusingan pertama, dua daripadanya di tangan juara Olimpik Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Jika Liu Ying mahukan pemain muda penuh bertenaga dan berpengalaman, dia boleh memilih sama ada Yew Sin atau Ee Yi yang melakar kejutan apabila meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol bulan lalu.

Selain itu, Liu Ying juga sering memuat naik aktiviti beriadah bermain golf akhir-akhir ini di media sosial sehingga ada peminat yang menyangka dia mahu beralih ke sukan itu.

Melihatkan gayanya beraksi menghayun bola golf di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Bukit Kiara, tidak hairan ada yang bertanyakan sama ada dia mahu melupakan terus sukan badminton dan beralih kepada sukan golf yang boleh bertahan hingga ke usia lebih tua.

Liu Ying mengakhiri gandingan selama 13 tahun bersama Peng Soon pada awal Disember lalu dengan Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia menjadi kejohanan terakhir mereka bersama sekali gus menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Sepanyol.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 12:09pm
d