Badminton

Juan Shen pilihan Liu Ying?

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pencarian Goh Liu Ying mengenai pasangan baharunya mungkin berakhir apabila dia dilihat bergandingan dengan Low Juan Shen di gelanggang latihan akhir-akhir ini.

Liu Ying, 32, berpisah dengan Chan Peng Soon hujung tahun lalu selepas bergandingan selama 13 tahun dan mencapai kemuncaknya apabila meraih pingat perak acara beregu campuran pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Peng Soon-Liu Ying, yang beraksi sebagai pemain bebas sejak Disember 2018, melalui episod memenatkan bertanding dalam enam kejohanan berturut-turut bermula Terbuka Denmark September lalu hinggalah Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Bali, Indonesia pada awal Disember dan memutuskan untuk berpisah sekali gus menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol bulan lalu.

Ketika Peng Soon kini kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bergandingan dengan pemain baharu yang lebih muda dan bertenaga Valeree Siow dan sudah bertanding dua kejohanan pada Terbuka India di New Delhi dan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, Liu Ying masih mencari-cari siapa yang boleh berpasangan dengannya.

Dalam perkongsian video pendek di aplikasi TikTok, kelihatan Liu Ying berpasangan dengan Juan Shen dan mentertawakan lawan mereka yang terjatuh ketika cuba membalas pukulannya.

"Kaki lembik ka? @ameerzainuddin. New partnership? Mummy dengan Zubear?," tulis Liu Ying yang lebih dikenali sebagai mummy dalam kalangan pemain dan warganet manakala Zubear merujuk kepada Juan Shen.

"Ok mummy nanti kita main All England," balas Juan Shen, 28, di ruangan komen.

Perkongsian itu menarik minat warganet dan ramai yang menyokong jika pemain berasal dari Melaka itu berpasangan dengan Juan Shen yang pernah meraih pingat emas beregu lelaki pada Kejohanan Universiti Dunia 2018 di Kuala Lumpur bergandingan dengan Nur Mohd Azriyn Ayub.

"Okay je mummy... you partner sama Zubear, kita semua support semua player Malaysia main kat mana-mana tournament," komen @hanadzulkifli.

"Yes mummy dengan Zubear," kata @reynatakamila manakala @zahir_zainon berkata: "Mummy nanti you kena cover satu court kalau partner dengan Zuber."

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 5:17pm
d