Badminton

Vittinghus minat belajar bahasa Indonesia

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Selepas hampir 17 tahun berkecimpung dalam dunia badminton, bintang perseorangan veteran Denmark, Hans-Kristian Vittinghus akhirnya menunjukkan minat untuk mempelajari bahasa Indonesia.

Jika rakan senegaranya, Viktor Axelsen memilih untuk menguasai bahasa Mandarin bagi memudahkannya berinteraksi dengan peminat terutama dari Negara Tembok Besar, Vittinghus kini berusaha menambat hati warganet Indonesia yang cukup terkenal dengan peminat fanatiknya.

Bagaimanapun, Vittinghus, 36, memulakan usahanya untuk belajar bahasa Indonesia dengan berinteraksi bersama juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.

Dalam satu mesej dihantar Vittinghus yang dimuat naik Kean Yew di laman Twitter, pemain Denmark itu menyatakan dia mahu berbual dalam bahasa Indonesia dengan pemain berasal dari Malaysia itu.

"Saya mau berbicara bahasa Indonesia dengan kamu," tulis Vittinghus dan dibalas Kean Yew: "Okeh. Saya tunggu kamu belajar dulu. Lain kali kita ngomong bahasa Indo."

Vittinghus mencetus geli hati Kean Yew kerana jawapan pendek yang diberikan sebegitu rupa sudah tidak difahami pemain Denmark itu. "Saya sudah tidak mengerti," jawab Vittinghus.

Lantas Kean Yew berkongsi perbualan dua pemain itu dengan tajuk "Wkwkwkwkkwkwk looking forward to it @hkvittinghus".

Perkataan "wkwkwkwkkwkwk" bermaksud ketawa yang digunakan oleh ramai warganet Indonesia dan ada peminat terkejut bila melihat Kean Yew menggunakan perkataan itu.

"Today Kean Yew pakai 'wkwkwk' kayaknya besok ngucapin selamat pagi pakai 'met pagie guyss, gie apa nie?'," kata dis @inupiye.

Seorang warganet berkata, Vittinghus perlu membayar Kean Yew jika dia mahu mendapatkan khidmat pemain Singapura itu sebagai tutor.

"Gak bisa lo. Saya campur sini sana sikit. Lain kali dia yang jadi tutor saya," balas Kean Yew.

Terdahulu, Vittinghus dilihat cuba mempelajari bahasa Indonesia menerusi laman Instagram Kedutaan Indonesia di Copenhagen @indonesiaincopenhagen.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 7:06pm
d