Badminton

Ahmad Faizal akan jumpa BAM, Zii Jia

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pertikaian antara Lee Zii Jia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan mengadakan pertemuan dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat.

Ahmad Faizal dalam hantaran di laman sosial Facebook memaklumkan bahawa kepentingan negara perlu diutamakan dan sudah pasti ada jalan penyelesaiannya.

"Pada hemat saya isu di antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang diinginkan rakyat dan pendokong serta penyokong sukan badminton ketika ini.

"BAM dan Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini.

"Saya akan bertemu dengan kedua-dua belah pihak dalam masa terdekat ini," katanya.

Tegas Ahmad Faizal, adalah tidak wajar untuk mempertaruhkan masa depan pemain dan kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa.

Terdahulu BAM mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa pada 18 Januari lalu.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan antara kedua-dua belah pihak menemui jalan buntu.

Pada sidang media yang berlangsung hari ini, Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos menjelaskan bahawa BAM sudah mengadakan perbincangan dengan Zii Jia meletakkan syarat baru bagi meneruskan kerjayanya bersama BAM.

Antara syarat berkenaan adalah mempunyai barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan yang mahu disertainya sendiri dan untuk mempunyai penaja sendiri.

Namun bagi menghargai bakat dimilikinya yang diasah BAM sejak 11 tahun lalu, BAM menawarkan insentif lumayan termasuk pembayaran wang tunai. Bagaimanapun, Zii Jia menolak tawaran berkenaan.

Selain Zii Jia turut dikenakan tindakan oleh BAM adalah bekas pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang juga tidak akan didaftarkan menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 10:02pm
d