Badminton

Kempen selamatkan Zii Jia di media sosial

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Beberapa peminat dan warganet berusaha keras dalam kempen menyelamatkan karier Lee Zii Jia daripada musnah dalam masa dua tahun apabila pemain itu tidak akan didaftar oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bertanding pada mana-mana kejohanan susulan keputusannya keluar daripada badan induk itu.

Satu kempen di Twitter menerusi akaun Malaysia Badminton Lovers menarik perhatian ramai dalam usaha mereka mempertahankan keputusan Zii Jia dan rakannya Goh Jin Wei dengan mengumpul petisyen mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya menarik balik keputusan itu yang nyata tidak boleh diterima kebanyakan penyokong.

"Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dikenali dengan bakat dan pencapaian hebat mereka, tidak perlu mengharamkan mereka selama dua tahun daripada menyertai kejohanan, kami (rakyat Malaysia) sedar dan percaya dua pemain ini boleh mencetus pencapaian terbesar di Malaysia, kami tidak akan berhenti dan marah dengan perkara ini," menurut satu kenyataan pendek di laman itu.

Setakat ini, kempen petisyen di avaaz.org Community Petitions bertajuk "Jangan Gantung Lee Zii Jia & Goh Jin Wei" itu sudah mendapat lebih 68,000 tandatangan termasuk sokongan daripada pemain badminton nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark.

Axelsen, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, dilihat 'retweet' semula kempen petisyen itu di samping mengukuhkan sokongannya terhadap dua pemain itu.

"Bayangkan anda berada dalam kedudukan yang mana anda tidak berasa gembira di tempat kerja semasa anda dan mahukan sesuatu yang baharu. Anda pergi berjumpa bos anda dan meluahkan keinginan dan memberitahunya anda mahu berhenti dan mencari kerja lain.

"Bagaimanapun, bos anda tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan kerana mereka berkuasa untuk melarang anda daripada memohon pekerjaan dalam bidang anda, mereka mungkin menghalangnya. Anda hanya perlu tunggu dan lihat.

"Dengar sahaja betapa gilanya perkara ini. Ini tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita?" tanya Axelsen kepada peminat dan warganet.

Satu lagi kempen di Twitter dimulakan Faizal Rosly @ijaicool yang memuat naik gambar poster bertajuk 'Backup Lee Zii Jia' menghimpunkan peminat badminton, bola sepak, Axelsen, NFT gang, peminat permainan Genshin Impact, Kpop stans, Blekmetel, Cybertrooper kerajaan dan Peminat Sambal Nyet.

Kempen yang dimulakan pada jam 5 petang semalam, hanya beberapa minit selepas keputusan ke atas Zii Jia dan Jin Wei diketahui umum, kini mendapat 16,900 retweet, 342 quote tweet dan 28,200 likes.

Disiarkan pada: January 22, 2022 @ 1:45pm
d