Badminton

Pulanglah Zii Jia - Misbun

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Datuk Misbun Sidek berkata adalah satu kerugian besar jika Lee Zii Jia kekal dengan pendirian untuk tidak kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menerima keputusan badan induk itu yang tidak mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Jelas bekas jurulatih jaguh perseorangan negara itu, tempoh dua tahun tanpa sebarang kejohanan bukanlah sesuatu yang singkat dan sukar untuk Zii Jia kembali mendapatkan prestasinya seperti mana sekarang.

Misbun memberi contoh bagaimana jaguh Jepun, Kento Momota turut bergelut untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas digantung selama setahun pada April 2016 oleh Persatuan Badminton Nippon kerana kesalahan berjudi di kasino haram.

"Dia (Momota) kena bermula dari bawah, begitu juga Zii Jia. Soalnya sekarang siapa yang hendak bantu dia ketika itu (dua tahun lagi)?

"Jika dia ada duit sekali pun, siapa yang hendak bantu dan 'pegang' dia," kata Misbun ketika ditemui, hari ini.

Justeru, Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu meminta agar Zii Jia kembali semula ke badan induk itu kerana ia adalah tempat di mana ramai pihak boleh membantunya menjadi pemain terbaik dunia.

"Di sini (BAM) semua ada, tak perlu lagi nak fikir apa-apa, jadi sekarang ini terpulang kepada dia. Apa yang dimahukan sebenarnya.

"Zii Jia perlu berada di BAM kerana dia masih muda dan masih perlukan bimbingan supaya dapat sampai ke tahap lebih tinggi," katanya.

Misbun juga mengakui terkejut dengan keputusan Zii Jia mahu meninggalkan BAM kerana sudah mengenali pemain berusia 23 tahun itu sejak sekian lama.

Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 5:00pm
d