Badminton

Zii Jia tak tahu tawaran RM1 juta

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: "Saya tidak tahu (mengenai tawaran gaji RM1 juta)." Itulah jawapan diberikan pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia apabila ditanya mengenai dakwaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkannya gaji dengan jumlah berkenaan.

Menurut juara Seluruh England 2021 itu, dia sendiri tidak tahu dari mana perkara berkenaan boleh keluar dan enggan memberi sebarang komen lanjut.

"Anda anggap bahawa tidak bertanyakan soalan ini kepada saya, saya tidak tahu dan tiada sebarang komen," katanya yang mendapat restu daripada BAM untuk bergerak secara profesional.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan BAM sanggup menawarkan gaji sebanyak RM1 juta setahun hanya semata-mata mahu jaguh perseorangan negara itu kekal bersama badan induk berkenaan.

Malah difahamkan tawaran cukup lumayan itu kali pertama diberikan BAM kepada pemain di bawah naungannya.

Isu mengenai Zii Jia dan BAM semakin menemui titik noktah apabila semalam kedua-dua pihak mengumumkan menemui jalan penyelesaian mutlak yang bakal diumumkan pada minggu depan.

Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika ditemui berkata, pertemuan dengan Zii Jia adalah selepas pemain ranking ketujuh dunia itu mengemukakan surat rayuan semalam.

Dalam pada itu Zii Jia memberitahu dia juga akan turut mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan apa perancangan untuk dirinya dalam arena badminton dan selaku pemain profesional.

"Saya sendiri akan mengumumkannya nanti (mengenai permulaan karier pemain profesional), tunggu selepas BAM membuat pengumuman terlebih dulu minggu depan," katanya.

Zii Jia juga mengakui buat masa sekarang dia akan berlatih seperti biasa dan sudah mempunyai tempat latihan sendiri sebagai persediaan untuk membantu skuad negara beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia.

Jumaat lalu BAM memutuskan tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 11:42am
d