Badminton

Kisona sandaran buru tiket Piala Uber

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona kini bersedia untuk memberikan aksi terbaiknya seterusnya membantu skuad negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini.

Biarpun dimaklumkan kebanyakan negara yang beraksi di BATC tidak menghantar barisan terkuat mereka, namun pemain berusia 25 tahun itu tidak akan memandang mudah cabaran setiap pasukan yang akan dihadapi nanti.

"Sasaran utama adalah untuk membantu negara layak secara merit ke Piala Uber. Kami perlu berada di kedudukan empat terbaik di BATC nanti.

"Negara atau siapa yang datang kali ini itu perkara kedua. Sebab ia di luar kawalan. Apa yang saya harapkan dapat kekalkan momentum seperti yang ditunjukkan dua tahun lalu.

"Sekarang ini saya fikir hanya mahu buat yang terbaik. Masuk ke gelanggang dan fokus untuk menang perlawanan," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2019 berkata, dia dapat merasakan peningkatan dalam permainannya selepas menjalani latihan intensif di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum ini.

"Setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Persiapan pun okey. Ada peningkatan dalam permainannya dan saya dapat rasai.

"Saya harap dapat kekalkan prestasi ini sampai BATC nanti," katanya.

Kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam itu menyaksikan skuad negara dibarisi lima pemain perseorangan iaitu Eoon Qi Xuan, Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Dalam acara beregu pula, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan menjadi sandaran utama menyumbangkan mata selain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Edisi BATC 2020 di Filipina menyaksikan skuad wanita negara berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas di tangan Jepun 0-3 tetapi mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Uber secara merit.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 2:27pm
d