Badminton

Tze Yong tak hirau status

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tidak pernah terfikir sebagai pemain nombor satu perseorangan lelaki skuad kebangsaan dan hanya mahu ikut segala arahan jurulatih.

Itulah pengakuan Ng Tze Yong selepas bekas rakan sepelatihnya, Lee Zii Jia mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.

Walaupun tumpuan sekarang ini terarah kepadanya, pemain berusia 21 tahun itu mengakui ketiadaan Zii Jia tidak akan memberi kesan besar kepada dirinya.

Menurut Tze Yong, dia tidak berasa tertekan mengenai status terbarunya, sebaliknya akan terus mencabar dirinya untuk merealiasikan sasaran berada dalam kelompok 25 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

"Saya pun tidak mahu fikir banyak mengenai perkara ini (ketiadaan Zii Jia dalam skuad kebangsaan), saya akan terus berlatih seperti biasa dan ikut arahan jurulatih," kata Tze Yong ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Selepas BAM memberi restu kepada Zii Jia untuk bergerak secara profesional, minggu lalu, Tze Yong kini secara automatiknya mengambil alih kedudukan sebagai perseorangan nombor satu dalam kem kebangsaan.

Berdasarkan ranking dunia, dia berada di kedudukan ke-47 iaitu yang terbaik berbanding perseorangan lelaki lain yang berada dalam badan induk itu.

"Saya akan memberi fokus dalam setiap kejohanan disertai dan cuba untuk mencapainya sasaran yang ditetapkan," kata pemain kelahiran Johor itu.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan BAM (perseorangan), Wong Choong Hann menyuarakan keyakinan Tze Yong mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Zii Jia yang membuat keputusan meninggalkan badan induk itu.

Katanya, situasi dialami Tze Yong ketika ini sama seperti Zii Jia tiga tahun lalu dan percaya pemain itu mampu menunjukkan peningkatan dalam tempoh seperti mana ditunjukkan juara Seluruh England 2021 berkenaan.

Dalam pada itu, Tze Yong mengakui dia perlu melipatgandakan usaha dalam persiapannya menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bermula 15 Februari ini selepas dua minggu tidak turun ke gelanggang susulan dijangkiti Covid-19. Dia disahkan positif sebaik tiba di tanah air selepas menyertai kejohanan di India, bulan lalu.

"Saya baru saja kembali berlatih semalam dan memerlukan sedikit masa untuk kembali berada pada tahap terbaik. Justeru, saya akan bekerja keras untuk persiapkan diri termasuklah untuk turun berlatih pada cuti Sabtu dan Ahad," katanya yang akan menggalas tugas sebagai perseoranan kedua di belakang Zii Jia.

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 9:47pm
d