Badminton

Rahsia Indonesia dalam poket Rexy

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tanpa berselindung Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky mengakui bahawa Malaysia harus berwaspada dengan skuad Indonesia yang boleh menjadi penghalang untuk pemain negara merasai nikmat kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di laman sendiri.

Menurut bekas pemain beregu Indonesia itu, walaupun pasukan negara kelahirannya menyenaraikan pemain muda berbanding Malaysia yang menghantar pasukan terkuat namun rata-rata pemain lawan jelas berpangalaman dalam kejohanan berpasukan.

"Indonesia memiliki pemain muda yang turut memperkuatkan pasukan ketika memenangi Piala Thomas tahun lalu (di Denmark). Jadi, Indonesia adalah pasukan yang perlu diberi perhatian," katanya.

Ujar Rexy, beliau bukan saya memandang mudah keupayaan pasukan lain, seperti Jepun yang mungkin turut menyenaraikan pemain muda tetapi berbanding Indonesia ternyata memiliki pemain muda berpengalaman di kejohanan berpasukan.

"Selain itu, kemampuan Indonesia juga agak luar biasa setiap kali beraksi dalam kejohanan berpasukan. Saya sendiri pernah bawa pasukan Indonesia ketika muncul juara pada 2016. Ketika itu, ada Jonatan Christie, Anthony Ginting untuk perseorangan dan ada Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk beregu. Namun, majoriti pemain perseorangan adalah pemain muda dan akhirnya, kami jadi juara," kata Rexy.

Dalam saingan BATC 2020, skuad lelaki negara berjaya mara ke final sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3.

Bagaimanapun, dengan membariskan pemain utama pada edisi kali ini, Malaysia dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan untuk muncul juara ketika negara lain semuanya menghantar pasukan kedua selain penarikan diri Thailand dan Taiwan berikutan Covid-19.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

BATC 2022 yang akan membuka tirai 15 Februari ini di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam turut menawarkan tiket ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei depan dengan empat pasukan terbaik layak secara automatik.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 2:50pm
d