Badminton

Aaron idam mara ke final

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pasukan badminton Malaysia memiliki kekuatan tersendiri sekali gus berpeluang cerah untuk menempah tiket ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bermula Selasa ini.

Keyakinan itu dinyatakan wakil beregu lelaki negara, Aaron Chia yang melihat barisan pemain ketika ini berada pada tahap optimum bagi membawa pulang 'hasil' untuk negara.

Aaron berkata, pasukan negara juga mempunyai kelebihan apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan sekali gus tidak berhadapan masalah untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya.

"Atas kertas, nampak peluang kami lebih tinggi. Kami harap dapat mengulangi pencapaian dua tahun lalu dalam BATC apabila berjaya mara ke final," katanya.

Pemain terbabit yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik mendapat tonik terbaik menjelang saingan BATC kali ini selepas menerima Pingat Bintang Kesatria Mahkota Wilayah (K.W.M) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

"Ini adalah satu permulaan yang baik buat kami sebelum kami memulakan cabaran dalam saingan musim ini," katanya.

Pada edisi 2020 di Filipina, skuad negara mencipta kejutan dengan mara ke final sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Mengikut rekod, tahun ini cukup penting buat Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking nombor tujuh dunia terutama dalam misi mereka menamatkan penantian merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan itu masih 'kelam' merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik adalah enam kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Namun, pasangan itu tetap membanggakan Malaysia apabila berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Filipina dan meraih gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Aaron-Wooi Yik turut mengintai peluang bagi meraih pingat pada Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou yang turut berlangsung tahun ini.

Sukan Komanwel akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia bermula 10 hingga 25 September.

Selepas tamat kempen BATC, mereka seterusnya dijadual menyertai tiga kejohanan di Eropah pada Mac bermula Terbuka Jerman (8 hingga 13 Mac), Seluruh England (16 hingga 20 Mac) dan Terbuka Switzerland (22 hingga 27 Mac).

Disiarkan pada: February 10, 2022 @ 2:07pm
d