Badminton

Indra Widjaja bimbing Zii Jia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia bakal dibimbing oleh jurulatih negara, Indra Widjaja bagi meneruskan kerjaya badmintonnya sebagai pemain profesional.

Perkara itu dikongsikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yang turut memaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sudah meluluskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia.

"Ini akan membantu melayakkan Zii Jia mengambil-alih jurulatih Indra Widjaja yang akan menamatkan kontraknya dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pada 31 Mac depan," kata Lian Ker.

Ujar, Lian Ker BAM bersedia menyerahkan jurulatih dari Indonesia ini untuk terus membantu Zii Jia dalam kerjaya sukannya.

"Pejabat saya akan membantu Zii Jia untuk melicinkan proses pendaftaran, permit kerja dan keperluan imigresen. Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Zii Jia dan Kelab Badminton Lee Zii Jia yang baru ditubuhkan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Indra ketika ini masih menggalas tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita negara. Dia yang mula bersama BAM pada 2015 dan sebelum ini memikul tugas selaku jurulatih perseorangan lelaki.

Bulan lalu, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia memutuskan untuk keluar daripada BAM dan bergerak secara profesional.

Dia sebelum ini memberitahu akan membentuk pasukannya sendiri termasuk jurulatih dan pasukan sokongan bagi membantunya kerjayanya sebagai pemain bebas.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 6:15pm
d