Badminton

Kemenangan untuk Thinaah

Oleh Ferzalfie Fauzi

Shah Alam: Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan jelas sekali sedih walaupun berjaya menyumbang mata penyamaan buat skuad wanita negara ketika menumpaskan Jepun 3-2 di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam sebentar tadi.

Berdasarkan suaranya ketika ditemuramah media, Pearly jelas sekali cuba menahan sebak apabila rakan segandingannya, M Thinaah disahkan positif Covid-19 sekali gus tidak dapat bersama skuad berkenaan.

"Saya rasa dalam acara berpasukan apa saja boleh berlaku. Saya pun terkejut dan dia ada menghubungi saya menyatakan sangat sedih apa yang berlaku. Jadi saya pun berjuang di dalam gelanggang demi untuknya," kata Pearly selepas berjaya menumpaskan Rui Hirokami-Yuna Kato 24-22, 21-18.

Dia yang digandingkan pada saat akhir dengan Valeree Siow, mengakui hanya mengetahui mengenai ketiadaan Thinaah dalam pasukan selepas melihat senarai pemain.

"Saya tidak tahu dia positif, sekarang pun masih terkejut tapi kami hanya meneruskan permainan seperti biasa," katanya yang menduduki ranking 16 dunia bersama Thinaah. Ditanya apa yang diberitahu barisan kejurulatihan mengenai perkara berkenaan sebelum turun ke gelanggang, pemain kelahiran Kedah itu berkata, mereka dinasihatkan agar tidak terlalu memikirkan situasi Thinaah.

"Jurulatih menasihatkan kami agar berjuang untuk menyumbang mata kepada pasukan, jadi kami pun beraksi dengan mengutip mata demi mata selain memperbaiki komunikasi di dalam gelanggang," katanya.

Sementara itu, Valeree berkata, ia satu pengalaman yang baik buatnya dapat bergandingan dengan Pearly dan banyak dipelajari ketika berdepan pasangan Jepun sebentar tadi.

"Banyak perkara yang diajar Pearly, cuma saya sendiri perlu lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan. Apa pun saya perlu ikut apa saja yang dia mahu saya lakukan hari ini," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 9:24pm
d