Badminton

Aaron pelik undian Terbuka Jerman

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Menang susah, kalah pun lagilah bermasalah.

Situasi terbabit terjadi membabitkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi saingan Terbuka Jerman yang bermula 8 hingga 13 Mac ini apabila menyaksikan pertarungan 'adik beradik' berlangsung seawal pusingan pertama.

Beregu utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan membuka tirai saingan menentang rakan senegara, Goh V Shem-Low Juan Shen.

Kisah tragis tidak berakhir di situ apabila jika mereka menang, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu pula pemenang perlawanan antara dua lagi pasangan Malaysia iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Mana-mana pasangan negara yang berjaya melangkah ke suku akhir, mereka kemungkinan besar akan bertemu dengan satu lagi beregu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Menurut Aaron, situasi 'pelik' itu kerap berlaku membabitkan kem negara namun kali ini boleh dikatakan lebih teruk apabila menyaksikan lima kedudukan di sebelah bawah undian membabitkan wakil Malaysia sekali gus tidak dapat mengelak daripada bertemu antara satu sama lain.

"Bukan kata Malaysia saja, negara lain pun menghadapi perkara sama sebelum ini, seperti contoh Indonesia bertemu Indonesia dan Jepun menentang Jepun.

"Kalau kata kami jumpa rakan senegara di pusingan kedua atau suku akhir, itu masih boleh diterima. Namun, tengok undian kali ini, lima kedudukan di bawah itu semuanya membabitkan beregu Malaysia.

"Kami pergi sehingga ke Eropah bukan untuk bermain menentang rakan sepasukan. Ini bukan sesuatu yang kami mahukan," katanya.

Menurutnya lagi, situasi berkenaan seharusnya mendapat pertimbangan sewajarnya BWF bagi mengelak kejohanan terbabit hilang seri.

"Mengenai bagaimana cara undian perlu dilakukan, saya fikir BWF lebih tahu. Cuma, kami sebagai pemain kalau boleh janganlah pusingan pertama pun kami sudah bertemu rakan sepasukan," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 6:31pm
d