Badminton

Rexy mula cetus impak

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad wanita negara berjaya mencapai sasaran mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sekali gus layak beraksi di Piala Uber secara merit.

Mereka berjaya mengesahkan tiket ke kelompok empat terbaik selepas muncul juara Kumpulan Y dengan menewaskan Jepun dan India dengan keputusan 3-2.

Nyata kehadiran legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky yang menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi impak positif terutama dalam acara beregu wanita negara.

Perkara itu diakui oleh beregu wanita, Teoh Mei Xing-Anna Cheong yang merasai perubahan dari segi kualiti permainan dan peningkatan prestasi.

Mei Xing berkata, sejak menjalani latihan di bawah kawalan Rexy, dia dapat merasai peningkatan terutama dari aspek kekuatan fizikal kerana corak latihan berat yang ditekankan jurulatih itu.

"Pendekatan digunakan Rexy memang berat tapi saya nampak setiap pemain beregu tunjukkan peningkatan sebab pendekatan latihannya. Fizikal kami juga semakin baik dan saya gembira kerana ada jurulatih yang dapat membimbing kami mencapai kemuncak prestasi dalam latihan," katanya.

Katanya, biarpun latihan di bawah Rexy menjadi lebih lama berbanding sebelum ini, iaitu bermula dari jam 6.30 pagi dan tamat 11.30 pagi, namun itu bukanlah satu masalah.

"Sekarang ini latihan lebih panjang tapi ia akan buat kami sentiasa fokus dalam latihan. Pada mulanya memang sedikit letih tapi sekarang kami semua sudah dapat menyesuaikan diri.

"Biarpun ia sukar tapi saya percaya kami mampu menjadi lebih baik," katanya.

Prestasi cemerlang pasangan ranking ke-85 dunia itu menyaksikan mereka menjadi antara watak penting yang membantu Malaysia melangkah ke separuh akhir kejohanan itu selepas menyumbang mata dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Jepun dan India.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 10:19pm
d