Badminton

Thinaah bangga dengan pencapaian rakan sepasukan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jauh di lubuk hatinya, dia mahu berjuang bersama-sama skuad wanita negara di Kejohanan Badminton Asia (BATC) kali ini.

Namun M Thinaah akui keadaannya tidak mengizinkan dia berbuat demikian selepas di sahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum kejohanan membuka tirainya Selasa lalu.

Bagaimanapun, Thinaah cukup berbangga dengan kejayaan skuad negara apabila sudah mencapai sasaran mara ke separuh akhir seterusnya layak beraksi di Piala Uber di Bangkok Mei ini secara merit.

"Hati saya memang nak main sangat. Tapi buat masa ini kesihatan menjadi keutamaan. Saya mahu pulih dahulu sepenuhnya baru kembali ke gelanggang.

"Secara jujurnya saya agak sedih apabila tidak dapat bersama mereka tapi pada masa yang sama saya bangga kerana mereka berjaya ke separuh akhir dan ia pencapaian yang membanggakan," katanya.

Tanpa Thinaah pemain muda negara Valeree Siow diberi peluang bergandingan bersama Pearly Tan dan mereka berjaya mempamerkan kombinasi terbaik ketika berdepan Jepun dan India.

Mengulas mengenai pencapaian Valeree, Thinaah berkata, Valeree berjaya menyerap tekanan dan berjaya memberikan aksi terbaik dan ini adalah peluang berharga buat pemain muda itu menimba pengalaman.

"Inilah masa terbaik buat Valeree belajar daripada Pearly. Banyak pengalaman boleh diraihnya di BATC dan saya harap Valeree akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2022 @ 10:50pm
d