Badminton

Ayuh! lunas dendam ke atas Indonesia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Shah Alam: Skuad lelaki negara berpeluang membalas dendam kekalahan kepada Indonesia pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dua tahun lalu apabila sekali lagi bertemu lawan sama di pentas final esok.

Indonesia yang menewaskan skuad negara 3-1 pada aksi final dua tahun lalu di Manila, Filipina, mara ke final kali ini selepas menewaskan Singapura 3-2.

Pada aksi separuh akhir di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam hari ini, juara dunia, Loh Kean Yew meraih mata pertama Singapura selepas menewaskan Dwi Wardoyo Chico Aura 21-17, 21-19.

Namun Indonesia menyamakan kedudukan menerusi gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menewaskan Wesley Koh-Andy Kwek 21-16, 21-12 dalam tempoh 29 minit.

Jason Teh kembali meletakkan Singapura di depan selepas bangkit menewaskan Ikhsan Rumbay 18-21, 21-8, 21-9 tetapi Indonesia menyamakan kedudukan apabila Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana mengatasi Danny Bawa Chrisnanta-Terry Hee 15-21 21-11 21-15.

Christian Adinata mengesahkan kemenangan Indonesia selepas menewaskan Joel Koh 21-11, 21-14.

Terdahulu, skuad lelaki negara mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 3-0.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya menyumbang mata pertama namun dia terpaksa berdepan tentangan sengit Jeon Hyeok Jin sebelum meraih kemenangan mutlak 13-21, 21-13, 21-15 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam tujuh minit itu.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga berdepan situasi sama apabila memilih jalan sukar sebelum meraih mata kedua negara ketika berdepan Kim Hwi Tae-Kim Jae Hwan dengan kemenangan 21-14, 20-22, 21-19.

Perseorangan ketiga negara, Ng Tze Yong mengesahkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 8:42pm
d