Badminton

Wanita bertuah dapat jersi Wooi Yik

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pemain beregu negara Soh Wooi Yik melepaskan geram dengan membaling jersi yang dipakainya ke arah penonton selepas berjaya mengutip mata kedua pada separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia menentang Korea Selatan di Shah Alam, Sabtu lalu.

Wooi Yik, 24, yang meraih pingat gangsa beregu lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Aaron Chia, dikatakan berbuat demikian selepas kecewa kerana tewas mengejut dalam dua set di tangan beregu tidak ternama Jepun, Ayata Endo-Yuta Takei pada aksi peringkat kumpulan.

Siapa yang bertuah memiliki jersi yang dilemparkan Wooi Yik itu? Difahamkan seorang wanita yang hanya dikenali dengan nama Marissa mendapat jersi itu dan memberitahu Wooi Yik di laman InstaStory mengenai kejayaannya itu.

Wooi Yik membalas dengan kata-kata "ingat cuci tau". Warganet juga menasihatkan wanita itu supaya membasuh jersi itu terlebih dahulu kerana basah disebabkan peluh dan ada juga yang mencadangkan kepadanya supaya menjual kembali jersi itu dengan harga beribu-ribu.

Kecuali satu kekalahan di tangan pasangan Jepun, Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai beregu utama negara menang tiga lagi aksi mereka menentang Danny Bawa Chrisnantha-Wesley Koh dari Singapura pada peringkat kumpulan, beregu Korea Selatan, Kim Hwi Tae-Kim Jae Hwan (separuh akhir) dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia (final).

Mereka tidak diturunkan pada aksi peringkat kumpulan menentang Kazakhstan.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 1:19pm
d