Badminton

Prestasi pemain beregu belum sampai kemuncak

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui barisan pemain beregu negara tidak mempamerkan aksi sebenar pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Beliau berkata, walaupun ada beberapa kelemahan ketara dilihat melanda pasangan beregu negara, mereka mampu mencapai matlamat dengan meraih kemenangan ketika bertemu lawan masing-masing.

Katanya, beliau sudah membuat analisis berkaitan kejohanan berkenaan dalam usaha memantapkan lagi persembahan pasangan beregu negara untuk kejohanan akan datang.

"Saya lihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengotakan janjinya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka setiap kali diturunkan (kecuali kalah berdepan Jepun) pada kejohanan terbabit.

"Nur Izzudin-Goh Sze Fei pula walaupun mengharungi tekanan agak tinggi, mereka mampu menyumbang mata untuk negara sekali gus membantu Malaysia bergelar juara.

"Jadinya, banyak perkara harus dilakukan pada pasangan beregu negara jika mahu meraih lebih banyak kejayaan kelak," katanya.

Sementara itu, Rexy mengakui 'kehilangan' M Thinaah berikutan positif Covid-19 merencatkan perancangan untuk memastikan beregu wanita negara tampil lebih meyakinkan.

"Saya akui ketiadaan Thinaah menyebabkan pasangan beregu negara kurang menyerlah. Namun, kita ada pengganti yang lain dilihat mampu menggalas cabaran itu.

"Selepas ini terutama pada kejohanan Piala Uber, kita akan melihat gandingan pemain muda dan senior mewakili negara bagi acara beregu.

"Pemain muda juga sudah semakin menyerlah kerana masing-masing menunjukkan peningkatan positif untuk menyertai kejohanan lebih besar kelak," katanya.

Perjuangan pasukan badminton wanita negara di BATC tersekat di peringkat separuh akhir apabila tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 7:17pm
d