Badminton

Tidak mahu selesa dengan kemenangan BATC

Oleh Syazwan Msarmohd

Kuala Lumpur: Pasangan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Sooh Wooi Yik tidak mahu terus diulit mimpi indah dengan kejayaan memenangi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2022 (BATC).

Sebaliknya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu mahu menjadikan kemenangan terbabit sebagai momentum mencipta lebih banyak keputusan positif pada penyertaan mereka di kejohanan akan datang.

Menyedari bakal berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang lebih getir, Wooi Yik berkata, banyak 'kerja rumah' perlu dilakukan termasuk memperbaiki setiap kelemahan dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Katanya, kemenangan di kejohanan BATC itu memberi adalah proses pembelajaran terutama membabitkan mental pemain supaya tampil lebih meyakinkan apabila berhadapan lawan lebih hebat.

"Ia adalah perjalanan yang luar biasa. Kemenangan kali ini pastinya mendorong saya untuk terus bekerja keras untuk menjadi yang terbaik.

Selain itu, ini hanya permulaan untuk pasukan ini kerana kami akan menggunakan kemenangan ini sebagai platform untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan," katanya.

Terdahulu, skuad lelaki negara melakar sejarah muncul juara Kejohanan BATC buat kali pertama selepas menewaskan seteru utama, Indonesia 3-0 pada aksi final baru-baru ini.

Kemenangan itu juga sekali gus membalas dendam kekalahan kepada Indonesia pada final dua tahun lalu di Manila, Filipina yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3.

Selain itu, Aaron berkata, dia bersama pasangan beregunya memerlukan sokongan padu daripada semua pihak terutama penyokong badminton negara dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan pada penyertaan mereka di kejohanan akan datang.

"Sokongan tidak berbelah bagi daripada penyokong tanah air menyebabkan kami lebih bersemangat untuk jadikan 2022 sebagai tahun kejayaan buat sukan badminton negara," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 2:43pm
d