Badminton

Tze Yong bakal pemain terbaik dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia percaya masanya akan tiba untuk perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong muncul antara pemain terbaik dunia.

Jelas Zii Jia, Tze Yong sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi dengan terbaru membantu skuad lelaki negara memenangi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama, minggu lalu.

"Untuk BATC adalah penampilan kali pertamanya. Sudah pasti ia memberi pengalaman berharga kepadanya dalam acara berpasukan terutamanya di saingan Piala Thomas, Mei depan.

"Saya rasa dia sudah mula ambil tanggungjawab untuk menjadi pemain perseorangan kedua negara. Malah saya pun nampak kemahuan dia untuk menjadi pemain utama. Saya sangat gembira dengan prestasinya," katanya.

Tze Yong mempamerkan aksi cemerlang sepanjang tahun lalu dengan memenangi tiga kejohanan tahap rendah di Eropah iaitu Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland.

Berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemaskini 22 Februari lalu, Tze Yong ketika ini menduduki ranking ke-46 dunia manakala Zii Jia kekal di ranking ketujuh.

Sasaran pemain berusia 21 tahun itu yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada tahun ini adalah untuk berada di kelompok 30 terbaik dunia.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 10:42pm
d