Badminton

Wooi Yik akan lebih garang di Seluruh England - Flandy

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara Flandy Limpele meletakkan harapan besar ke atas Soh Wooi Yik untuk beraksi seperti 'harimau kelaparan' di Kejohanan Seluruh England yang bakal membuka tirai esok.

Beliau berkata Wooi Yik, yang terlepas beberapa sesi latihan dan Terbuka Jerman pada minggu lepas kerana dijangkiti Covid-19, kini berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk menampilkan cabaran sengit pada kejohanan berprestij di Arena Birmingham itu.

Jurulatih berasal dari Indonesia itu turut meminta Wooi Yik dan gandingannya Aaron Chia untuk mempersiapkan mental bersaing dan memberikan aksi terbaik tanpa mengira siapa lawan mereka dalam meraih gelaran pertama di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Wooi Yik dan Aaron telah memulakan latihan semalam dan saya lihat keadaan Wooi Yik baik. Saya berharap beliau lebih baik di All England, bagaikan lapar mahu makan semua (lawan)," katanya dalam rakaman video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada media hari ini.

Selaku pilihan keempat kejohanan, Aaron-Wooi Yik, yang juga naib juara edisi 2019 akan membuka kempen menentang Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Rusia pada pusingan pertama.

Pada pusingan kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu pemenang pertembungan pusingan pertama antara rakan sepasukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan He Ji Ting-Tan Qiang dari China.

Sementara itu, Flandy berharap Sze Fei-Nur Izzuddin yang meraih gelaran Terbuka Jerman baru-baru ini dapat meneruskan aksi konsisten pada kejohanan-kejohanan akan datang, termasuk All England.

"Mereka ada banyak lagi kejohanan berturut-turut, jadi mereka perlu tetap fokus, saya harus menjaga mereka. Dari segi teknik saya rasa tiada masalah, dari segi mental mereka harus jaga," katanya.

Mengulas mengenai Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bakal membuat debut di All England, Flandy mahu anak buahnya beraksi seperti biasa tanpa memikirkan status lawan mereka ketika berdepan juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun di pusingan pertama.

"Saya dah bincang dengan mereka untuk beraksi tanpa tekanan, perlu ubah corak pemikiran kerana mereka sedang meningkat, tiada apa yang perlu dibimbangkan, tekanan tentunya pada Hoki-Kobayashi. Kalau dah dalam gelanggang semua ada peluang untuk menang...lawan sahaja," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 10:48pm
d