Badminton

Latihan keras bukan jalan penyelesaian terbaik

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jika berusaha keras tanpa kaedah yang betul dan tepat tiada gunanya.

Perkara itu dirumuskan Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones yang akan mengkaji kaedah yang betul untuk barisan pemain negara menjalani latihan selepas menyaksikan mereka terkandas di pusingan suku akhir kepada India di Kejohanan Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Jones berkata, corak latihan yang diterapkan kepada pemain akan diperbaiki terutama ketika beraksi dalam kejohanan berintensiti tinggi seperti Piala Thomas.

Beliau berkata, ramai berpendapat bahawa BAM perlu menerapkan latihan lebih keras lagi kepada barisan pemain namun kaedah itu sebenarnya tidak banyak membantu untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

"Memang kita akan lihat kembali bagaimana untuk meningkatkan keupayaan barisan pemain supaya mereka boleh menyerap tekanan apabila beraksi di kejohanan besar.

"Saya baru saja memikul tugas sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM dan tidak mahu melakukan perubahan secara drastik namun ada kaedahnya yang boleh diterapkan kelak untuk mereka.

"Anda boleh berusaha keras namun jika tidak kena pada caranya ternyata adalah sia-sia. Kita tidak boleh hanya menerapkan latihan keras saja kerana pemain juga perlu mengawal emosi dan juga perlawanan," katanya.

Pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, pasukan negara terus kempunan menjulang Piala Thomas apabila tewas 2-3 di tangan India.

Peningkatan prestasi pasukan India itu cukup mengejutkan ramai pihak malah keputusan itu menyaksikan kekalahan pertama Malaysia kepada pasukan itu sejak 1979.

Mengikut rekod, tahun ini genap tiga dekad pasukan badminton negara kempunan menjulang Piala berprestij itu.

Kali terakhir Malaysia muncul sebagai juara adalah pada edisi 1992 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Disiarkan pada: May 14, 2022 @ 3:50pm
d