Badminton

Zii Jia takluk Terbuka Thailand

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berjaya merangkul gelaran kedua pada tahun ini apabila merangkul kejuaraan Terbuka Thailand sebentar tadi.

Zii Jia yang juga pemain di ranking keenam dunia berjaya membenam lawan dari China, Li Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21 dalam tempoh sejam 10 minit pada aksi final di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Pada perlawanan sebentar tadi menyaksikan Zii Jia terlebih dahulu dikejutkan dengan corak permainan pantas lawan yang berada di ranking 49 dunia itu sekali gus tewas pada set pertama 17-21.

Walaupun tewas, Zii Jia tampil memperkemaskan corak permainan sekali gus memerangkap Shi Feng di set kedua untuk mencatat kemenangan 21-11.

Namun, perlawanan set ketiga cukup mencemaskan apabila Zii Jia pada awalnya ketinggalan 15-18 bangkit mengejar lawannya sebelum menghantar pulang Shi Feng untuk meraih kemenangan 23-21.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah kira-kira RM118,000.

Sebelum ini, Zii Jia merangkul gelaran antarabangsa pertamanya apabila menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada 1 Mei lalu.

Sebagai rekod, Zii Jia yang turun selaku pilihan keenam kejohanan, memulakan kempen Terbuka Thailand dengan penuh bergaya selepas menewaskan Ade Resky Dwicahyo dari Azerbaijan di pusingan pertama.

Pemain ranking keenam dunia dari Alor Setar, Kedah itu sekali lagi tidak berdepan masalah apabila berdepan wakil Jerman, Kai Schafer dengan kemenangan 21-7, 21-11 di pusingan kedua.

Di peringkat separuh akhir, Zii Jia menewaskan rakan sepelatihnya Liew Daren dalam aksi tiga set selama 51 minit sebelum menang 21-16, 13-21, 21-14.

Disiarkan pada: May 22, 2022 @ 5:40pm
d