Badminton

Axelsen akui Zii Jia lawan sukar

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu dunia, Viktor Axelsen menganggap Lee Zii Jia sebagai ancaman baharu buat dirinya selepas diberikan tentangan sengit ketika pertembungan mereka di separuh akhir Terbuka Indonesia, Sabtu lalu.

Pemain kelahiran Denmark itu tiba di Malaysia semalam menggunakan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sebagai tempat latihannya dalam persiapan menghadapi saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, dia menganggap kemunculan Zii Jia yang kini berada dalam kelompok lima utama dunia menjadikan persaingan dalam acara perseorangan lelaki menjadi lebih sengit dan mampu memberikan 'hiburan' kepada peminat sukan badminton.

Axelsen, berkata dia gembira apabila memiliki ramai pencabar yang mampu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali turun ke gelanggang.

"Ada ramai pemain bagus ketika ini termasuk Zii Jia yang boleh kalahkan sesiapa sahaja. Saya rasa ia satu perkara yang baik kerana kami saling memberi tekanan antara satu sama lain untuk menjadi pemain terbaik," kata Axelsen ketika ditemui di ABM, hari ini.

Selepas merangkul dua gelaran dengan menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, Axelsen kini mengintai peluang untuk merekodkan hatrik apabila beraksi di Terbuka Malaysia.

Bagaimanapun, Axelsen menjelaskan, dia kini dalam usaha untuk kembali meningkatkan tahap kecergasan selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia bermain dalam 10 perlawanan secara keseluruhan.

"Secara jujur, badan saya masih penat selepas beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut. Sekarang saya ada masa lebih kurang seminggu untuk rehat dan bersedia sebelum Terbuka Malaysia membuka tirai.

"Saya hanya mahu lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan tidak mahu fikir terlalu jauh hingga ke perlawanan akhir. Apa yang penting dalam setiap kejohanan adalah fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, Axelsen turut terbuka untuk menjalani latihan bersama Zii Jia sebagai persiapan menghadapi Terbuka Malaysia.

"Saya sentiasa terbuka untuk berlatih dengan sesiapa sahaja kerana tidak ada benda yang mahu dirahsiakan. Ketika di Dubai pun, saya sentiasa berlatih dengan pemain-pemain lain dan kami saling membantu," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 4:00pm
d