Badminton

Peng Soon-Liu Ying buat penampilan terakhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Impian beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying untuk membuat penampilan terakhir tercapai apabila mereka layak beraksi dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 pada Januari depan.

Hal ini kerana, beregu campuran itu berada di kedudukan ke-18 senarai pasangan yang layak beraksi dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Selain Peng Soon-Liu Ying yang ketika ini berada di kedudukan ranking ke-47 dunia, tiga lagi beregu campuran negara turut layak mengibarkan cabaran di Terbuka Malaysia tahun depan iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Liu Ying berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk memenangi kejohanan itu namun ia akan meninggalkan kenangan manis sebelum mengambil keputusan bersara sebagai pemain profesional.

"Kalau dapat keputusan yang bagus lebih baik. Ini adalah kejohanan terakhir saya dengan Peng Soon dan saya berharap peminat dapat hadir ke stadium dan memberi sokongan kepada kami.

"Sudah tentu kami akan cuba berikan persembahan terbaik buat kali terakhir sebagai pasangan," katanya.

Mengikut rekod, Peng Soon-Liu Ying yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Disember 2018 bagi bergerak secara profesional mengumumkan perpisahan mereka pada Disember tahun lalu.

Ketika Peng Soon kembali ke pangkuan BAM selepas itu, Liu Ying pula kekal bergerak secara profesional dan bergandingan bersama pemain yang berbeza iaitu Ong Yew Sin, Soong Joo Ven dan Low Juan Shen.

Awal bulan lalu, Liu Ying mengumumkan dia akan bersara selepas tamat saingan Terbuka Malaysia dan berharap dapat membuat penampilan terakhir bersama Peng Soon yang turut memutuskan untuk meninggalkan BAM.

Sepanjang kerjaya mereka, Peng Soon-Liu Ying dua kali hampir muncul juara Terbuka Malaysia sebelum akur dengan gelaran naib juara pada edisi 2013 dan 2016.

Peng Soon-Liu Ying dilabel sebagai beregu campuran terbaik pernah dimiliki negara susulan kejayaan memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 3:20pm
d