Badminton

Pemburuan Ee Yi-Yew Sin ke Paris baru bermula

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, bukanlah penamat buat beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin ini kerana mereka dijangka bakal memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Menurut jurulatihnya, Rosman Razak beliau mahu Yew Sin-Ee Yi melupakan kekalahan itu dan kekal fokus untuk memperbaiki gaya permainan kerana beliau menganggap saingan musim ini masih panjang.

"Keputusan di Terbuka Malaysia bakal dijadikan sebagai pembakar semangat buat mereka untuk menampilkan aksi lebih baik menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Mei depan," katanya.

Ujar Rosman, ia baru kejohanan pertama ketika mengambil alih membimbing Yew Sin-Ee Yi dan beliau sendiri perlu banyak belajar walaupun memegang tanggungjawab sebagai jurulatih.

"Selepas ini, bukan sahaja mereka, malah saya juga perlu banyak belajar daripada apa yang berlaku pada Terbuka Malaysia. Apa yang paling penting adalah mereka sudah keluarkan segala-galanya.

"Sekarang tak perlu pandang belakang lagi kerana banyak lagi kejohanan selepas ini dan kelayakan Olimpik juga semakin hampir. Saya perlu berada pada laluan sama dengan mereka untuk layak ke Olimpik," katanya.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara dihadkan menghantar dua wakil dengan syarat mereka berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan Sukan Olimpik.

Kelmarin, pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia itu tersingkir daripada Terbuka Malaysia selepas tewas 21-14, 16-21, 17-21 kepada beregu No.1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Dalam pada itu, Rosman mengakui, Ee Yi-Yew Sin menampilkan aksi cukup baik di set pertama, namun gagal mengekang kebangkitan naib juara Terbuka Malaysia tahun lalu itu untuk melangkah ke separuh akhir.

"Kita dapat bersaing di set pertama, namun dua set berikutnya serangan balas kita agak perlahan dan terlalu banyak bertahan. Saingan masih lagi panjang, jadi kita perlu anggap ia sebagai cabaran menjelang kejohanan akan datang," ujarnya.

Disiarkan pada: January 15, 2023 @ 1:56pm
d