Badminton

Pasukan campuran taruhan BAM

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia mempertaruhkan gabungan pemain profesional dan pemain kebangsaan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Piala Sudirman (China) tahun ini.

Perkembangan itu disahkan sendiri Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann sebaik sahaja pengesahan penyertaan pemain negara untuk kejohanan itu yang ditutup pada hari ini.

Bagaimanapun, Choong Hann memberitahu nama-nama pemain yang beraksi di kejohanan itu bakal diumumkan tidak lama lagi sambil memberi bayangan mungkin akan menggunakan formula yang sama pada Piala Sudirman yang berlangsung pada Mei ini di Suzhou, China.

"Kami akan umum dalam masa terdekat. Ia mungkin melibatkan pemain campuran profesional dan BAM menjelang kejohanan di UAE pada Februari nanti.

"Semua keputusan ini dibuat dengan perbincangan antara semua pihak. Mungkin kerjasama ini akan berterusan untuk Piala Sudirman Mei ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (Jkk) di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama badan induk badminton negara itu melakukan tindakan sedemikian memandangkan BAM pernah menggunakan gabungan pemain profesional dan kebangsaan sebelum ini.

Disiarkan pada: January 20, 2023 @ 8:04pm
d