Badminton

Masa Zii Jia akan tiba

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya waktu untuk pemain profesional negara Lee Zii Jia 'meletup' di pentas antarabangsa akan tiba.

Choong Han berkata, ketika ini dilihat mungkin Zii Jia agak bergelut untuk mendapat rentak apabila bergerak secara profesional sekali gus mempengaruhi persembahannya di beberapa kejohanan baru-baru ini.

"Saya rasa dia masih di landasan sebagai pemain profesional mungkin dalam jangka masa pendek ini masih lagi awal dan dia ada masa lagi untuk mencari rentak.

"Berikan kepercayaan pada apa yang dia pilih dan berikan masa untuk cuba sendiri. Mungkin dia ada rezeki lebih bagus nanti cuma sekarang ini belum lagi nampak hasilnya," katanya.

Mengikut rekod permulaan musim 2023 kurang menjadi buat pemain nombor dua dunia itu apabila apabila dia ditunjuk jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India.

Zii Jia yang diletak sebagai pilihan kedua tewas di tangan pemain China, Li Shi Feng dengan keputusan 11-21, 21-14, 18-21 dalam pertarungan satu jam 4 minit sekali gus tidak berupaya melangkah ke suku akhir.

Sebelum itu, Lee Zii Jia menerima tamparan hebat dalam kejohanan badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pemain perseorangan utama negara itu menjadi mangsa kepada keampuhan yang ditunjukkan wakil dari Jepun, Kodai Naraoka dengan keputusan 21-13, 17-21, 19-21 dalam masa lebih satu jam permainan.

Disiarkan pada: January 21, 2023 @ 3:20pm
d