Badminton

Aaron-Wooi Yik kempunan kejuaraan lagi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tiada hadiah Tahun Baru Cina dari beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas tewas di final Terbuka India, sebentar tadi.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, bermula dengan meyakinkan pada pertemuan menentang beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang di Dewan Tertutup KD Jadhav di New Delhi apabila memenangi set pertama 21-14 tetapi gagal mengekalkan momentum berkenaan selepas tewas 19-21 di set kedua.

Aksi set ketiga menyaksikan juara dunia itu bermula baik apabila mendominasi awal permainan tetapi dilihat hilang fokus pada pertengahan perlawanan yang membolehkan lawan bangkit sekali gus melakar kemenangan 21-18.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan ranking ketiga dunia itu belum pernah muncul juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila tiga kali terkandas di pentas final untuk sekadar muncul naib juara pada saingan Terbuka SaarLorLux di Jerman 2018, Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Bagaimanapun, mereka berjaya mencipta sejarah menjadi pemain pertama Malaysia merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, tahun lalu selain memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupuan hanya bergelar naib juara, namun Aaron-Wooi Yik tetap membawa pulang 'angpau' lumayan sebanyak AS$29,750 (RM127,493) manakala Wei Keng-Wang Chang meraih AS$62,900 (RM269,557) selaku juara.

Minggu lalu, Aaron-Wooi Yik mengalami 'mimpi ngeri' apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia, sehingga dilabel sebagai mengecewakan oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pasangan negara itu selepas ini akan mengalihkan fokus bagi menghadapi saingan Masters Indonesia di Jakarta yang bermula Selasa ini.

Terdahulu, dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor empat dunia dari Korea Selatan, An Se Young merangkul gelaran pertama Terbuka India selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi 15-21, 21-16, 21-12.

Kemenangan itu menyaksikan Se Young menamatkan badi kekalahan ke atas lawan berkenaan dalam empat pertemuan terakhir sebelum ini termasuklah ketika tewas di pentas final Terbuka Malaysia 2023, minggu lalu.

Sementara itu, dua wakil Jepun dalam acara beregu campuran, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dan beregu wanita, Nami Matsuyama-Chiharu Shida tidak perlu bermandi peluh untuk muncul juara selepas diberikan kemenangan percuma susulan keputusan lawan mereka masing-masing dari China menarik diri daripada aksi final.

Kedua-dua pasangan China itu ialah gandingan nombor dua dunia, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dalam acara beregu campuran dan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan bagi acara beregu wanita.

Menurut kenyataan di laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Yi Lyu dan Qing Chen dilaporkan mengalami masalah cirit-birit sekali gus terpaksa menarik diri daripada aksi final.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 5:38pm
d