Badminton

Pearly-Thinaah mara ke pusingan kedua Masters Indonesia

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan- M Thinaah berjaya meloloskan ke pusingan kedua Masters Indonesia selepas menewaskan wakil Singapura, Jin Yujia-Crystal Wong sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, gandingan yang kini berada di ranking keenam dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawannya itu menerusi keputusan straight set 21-8, 21-13 dalam tempoh 27 minit.

Menanti Pearly-Thinaah di pusingan kedua esok adalah gandingan senegara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang berjaya menumpaskan beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-18, 21-17.

Turut mara ke pusingan kedua adalah beregu profesional negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong yang menidakkan cabaran wakil India, Krishna Prasad Garaga-Visnuvardhan Goud Panjala, 21-17, 21-9.

Pasangan ranking ke-40 dunia itu bakal bertemu gandingan Jepun, Keiirchiro Matsui-Yoshinori Takeuchi yang mengetepikan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Shin Baek Cheol, dalam satu lagi perhitungan hari ini.

Dalam pada itu, pemain perseorangan profesional negara Cheam Jun Wei berjaya lolos ke pusingan pertama kejohanan itu selepas berjaya mengharungi dua aksi kelayakan.

Pada pusingan pertama kelayakan, June Wei diberi tentangan sengit oleh wakil Jepun, Koki Watanabe sebelum menang 21-19, 21-7, 17-21 dalam tempoh satu jam.

Kecemerlangan itu diteruskan June Wei pada pusingan kedua kelayakan apabila menundukkan wakil India, Sai Praneeth 21-18,21-19 dan akan bertemu wakil Hong Kong, Ng Ka Long Angus di pusingan pertama esok.

Selain June Wei, turut mara ke pusingan pertama adalah beregu profesional negara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci yang menumpaskan wakil Kanada Adam Dong-Nyl Yakura 21-15,21-19.

Disiarkan pada: January 24, 2023 @ 9:45pm
d