Badminton

Aaron, Wooi Yik balas dendam ke atas beregu China

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya membalas dendam ke atas pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, sekali gus mara ke suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Di final Terbuka India, Ahad lalu, Aaron-Wooi Yik dikecewakan pasangan nombor tujuh itu, namun aksi di Stadium Istora Senayan, hari ini menyaksikan mereka lebih bersemangat dan menewaskan lawan dengan straight set 22-20, 21-13.

Malah kemenangan itu adalah yang pertama buat beregu kedua dunia itu dalam empat pertembungan sebelum ini yang dimenangi Wei Keng-Chang.

Kemaraan Aaron-Wooi Yik itu secara tidak langsung menyaksikan mereka mengubat kekecewaan terkandas di suku akhir di tangan lawan sama pada edisi tahun lalu.

Di final Terbuka India, Ahad lalu, Aaron-Wooi Yik tewas 21-14, 19-21, 18-21 di tangan Wei Keng-Chang dalam tempoh satu jam tiga minit.

Pada aksi suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik yang juga juara Kejohanan Dunia 2022 dijadual bertemu pemenang perlawanan antara satu lagi beregu China, Je Ji Ting-Zhou Hao Dong dan pasangan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Disiarkan pada: January 26, 2023 @ 12:33pm
d