Badminton

Sze Fei tak putus asa

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Walaupun peluang untuk pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 boleh dianggap tertutup selepas mengumumkan perpisahan bersama pasangannya, Nur Izzuddin Rumsani, namun atlet kelahiran Melaka itu tetap mengidam untuk bergelar Olimpian satu hari nanti.

Menurut Sze Fei, meskipun mengetahui ia bukan satu tugas mudah bersama pasangan barunya nanti, namun dia tetap akan mencuba sehabis baik sambil berharap gandingan baharunya mempunyai misi sama sekaligus mampu untuk merealisasikan impiannya itu.

"Benar kenapa tidak (beraksi di Olimpik). Tapi saya kena bincang perkara ini dengan jurulatih dan pasangan baharu saya.

"Sebab impian saya untuk bergelar juara yang saya rasa semua orang idamkan. Apa yang penting pasangan saya perlu ada impian yang sama.

"Bermula dari awal ia sering kali bukan perkara yang mudah. Namun ia tidak bermaksud saya perlu berhenti dari mencuba," katanya yang meberi kepercayaan sepenuhnya kepada barisan jurulatih untuk menentukan pasangan baharunya.

Sebelum ini, pasangan yang berada di ranking ke-11 dunia meluahkan hasrat untuk berpisah selepas tujuh tahun bergandingan bersama.

Keputusan dua pemain itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, minggu lalu.

Dalam pada itu, jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mengakui pihaknya masih belum ada keputusan berkenaan pasangan baharu buat Sze Fei dan Nur Izzuddin.

Menurutnya, banyak aspek perlu dilihat sebelum mengumumkan gandingan baharu mereka bagi memastikan situasi menang-menang antara semua pihak.

"Gandingan baharu ini masih dalam proses perbincangan. kita masih belum ada kata putus dan sekiranya ada keputusan Rexy akan umumkan.

"Sebab kita nak bila keputusan ini keluar ia akan bermanfaat untuk pemain itu sendiri dan mampu ikut seperti yang dirancangkan," ujarnya.

Disiarkan pada: February 1, 2023 @ 6:29pm
d