Badminton

Tujuh legenda anggotai panel penasihat teknikal BAM

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pembentukan panel penasihat teknikal yang terdiri dari 14 ahli dengan tujuh daripadanya adalah bekas pemain bagi membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Bekas pemain yang menganggotai panel itu adalah, Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.

Tujuh legenda itu akan bekerjasama dengan tujuh lagi panel yang akan dipengerusikan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan dibantu dibantu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Turut tersenarai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Panel Penasihat Teknikal itu akan berkhidmat secara pro-bono dengan memberikan nasihat dan bimbingan strategik kepada pihak Lembaga dan Pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ia bertujuan untuk meningkatkan prestasi barisan pemain negara untuk jangka masa panjang, dalam usaha meraih kedudukan podium di peringkat Sukan Olimpik, sukan temasya serta kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Panel itu dijangka akan bersidang setiap tiga bulan untuk menilai prestasi pemain dan jurulatih serta memberikan usulan dalam membuat perubahan terhadap program latihan, polisi, dan penyertaan kejohanan kepada Lembaga dan Pengurus ABM.

Panel berkenaan dijangka akan bersidang buat kali pertama pada penghujung Februari 2023.

Disiarkan pada: February 3, 2023 @ 9:12pm
d