Badminton

'Zii Jia perlu ada pasukan sendiri' - Rashid

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak boleh bergerak bersendirian jika ingin mendapatkan kembali momentum terbaik dan kekalkan prestasi pada tahap optimum.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, selain Zii Jia memerlukan jurulatih terbaik, dia seharusnya mempunyai pasukan yang boleh 'menjaganya' sepanjang penyertaan ke kejohanan antarabangsa.

Beliau berkata, Zii Jia memerlukan pasukan yang juga merangkumi pakar fisioterapi, rakan sepelatih dan pengurus untuk menguruskan beberapa aspek seperti latihan dan penyertaan kejohanan.

"Pada saya, dia perlu ada perancangan iaitu pasukan yang bagus supaya dapat kenalpasti kelemahan seterusnya meningkatkan lagi prestasi ke tahap optimum.

"Kalau saya sendiri, akan lantik jurulatih dan mempunyai satu pasukan yang terbaik untuk kekalkan prestasi. Sebagai pemain, saya hanya perlu memberi tumpuan kepada permainan saja manakala perkara lain diuruskan pasukan," katanya, ketika ditemui selepas melancarkan 'Charity At Heart' anjuran MILO, di sini, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Zii Jia memulakan tahun 2023 dengan rentak negatif selepas terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia; Terbuka India (pusingan kedua) dan Masters Indonesia (pusingan kedua).

Sejurus tersingkir awal pada Terbuka Malaysia 2023, Zii Jia kekal dengan pendiriannya untuk bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Selain itu, Rashid berkata, semua pihak seharusnya tidak menghentam pemain terbaik walaupun dia menunjukkan prestasi kurang menyakinkan sejak kebelakangan ini.

"Prestasi turun dan naik adalah asam garam sebagai pemain profesional sekali gus memerlukan sokongan daripada semua pihak," katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2023 @ 5:33pm
d