Badminton

Kian Meng akui tercabar

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara,Tan Kian Meng mengakui dia dan gandingannya Lai Pei Jing kini berada dalam zon yang tidak selamat berikutan peningkatan mendadak gandingan beregu campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Bagaimanapun gandingan yang berada di ranking keenam dunia itu berkata, dia memandang perkembangan beregu campuran BAM itu dari sudut pandang positif bagi meningkatkan lagi prestasinya pada masa akan datang.

"Bukan hanya saya, tapi kami (Goh Soon Huat-Shevon Lai) turut merasai tekanan apabila beregu dari BAM mempamerkan prestasi baik dan ranking dunia mereka naik mendadak.

"Tapi, apa berlaku ini adalah perkara positif dan sangat bagus. Kalau tidak, saya dan Soon Huat berada di zon selesa.

"Sekarang mereka mengejar, saya juga gembira kerana jika Malaysia mahu maju dalam beregu campuran, perlu ada lebih banyak gandingan, bukan hanya satu atau dua beregu sahaja," katanya

Untuk rekod, Kian Meng-Pei Jing ketika ini menjalani latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas mereka disenaraikan dalam skuad berpasukan campuran yang menggalas cabaran ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), yang akan berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 14 hingga 19 Februari.

"Kami akan cuba yang terbaik bagi menghargai keputusan BAM memilih kami mewakili negara.

"Sememangnya kita berpeluang besar ke separuh akhir, tapi ini adalah kejohanan berpasukan, kita bergantung harap kepada semua pemain," katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2023 @ 6:19pm
d