Badminton

BAM gesa CBA ambil tindakan ke atas Guang Yik

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA) berkenaan jurulatih yang berpangkalan di negara Tembok Besar itu, Bong Guang Yik susulan tindakannya mengeluarkan komen perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, badan induk badminton negara itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bekas pemain pelapis negara terbabit sambil menyifatkan Guang Yik tidak layak untuk menjawat jawatan sebagai jurulatih.

"Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam komen perkauman jijik yang disiarkan seorang warga Malaysia yang menetap di China. Warganegara Malaysia ini yang nampaknya sedang berlatih di China menyiarkan video itu di TikTok.

"BAM benar-benar terkejut dan akan meneruskan isu ini termasuk menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA).

"Persatuan mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk diskriminasi dan akan menggesa CBA mengambil tindakan yang perlu terhadap individu ini.

"Orang rasis seperti itu tidak boleh diupah untuk bekerja sebagai jurulatih dalam sukan yang sangat digemari berjuta-juta orang dari semua kaum dan agama.

"BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia,"katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila seorang individu yang merupakan bekas pemain badminton negara bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Dalam video itu, individu berkenaan mendakwa pihak pengurusan BAM yang majoritinya orang Melayu menjadi punca kejatuhan prestasi sukan itu memandangkan bangsa itu dilabel sebagai pemalas.

Disiarkan pada: February 13, 2023 @ 5:53pm
d