Badminton

Skuad badminton negara mudah atasi UAE

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Seperti diramal, Malaysia tidak berdepan masalah melakar kemenangan pertama pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai apabila menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 dalam aksi Kumpulan B, sebentar tadi.

Pada aksi di Pusat Pameran Dubai itu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama selepas menewaskan Bharath Lateesh 21-12, 21-15 sebelum juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei meletakkan Malaysia 2-0 di depan menerusi kemenangan ke atas Madhumitha Sundarapandian 21-0, 21-7 dalam acara perseorangan wanita.

Skuad negara nyata tidak memberi ruang buat UAE apabila beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus menambah derita lawan itu menerusi kemenangan ke atas Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan 21-11, 21-13 sebelum beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menyumbang mata keempat selepas menundukkan gandingan Sanika Dhawan Gurav-Taabia Khan 21-9, 21-8.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melengkapkan kemenangan skuad negara selepas mengetepikan cabaran Dev Vishnu-Aleena Qathun 21-10, 21-9.

Malaysia dijadual menentang Kazakhstan untuk aksi kedua, esok sebelum berdepan ujian sebenar menentang India yang dijangka bakal menjadi perlawanan penentuan gelaran juara peringkat kumpulan, Jumaat ini.

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 9:30pm
d