Badminton

AJBC kembang sayap

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) bakal menyaksikan pertambahan jumlah penyertaan dan pusingan kelayakan apabila pertandingan itu akan diperluas ke Sabah dan Sarawak untuk edisi 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, pihaknya kini sedang berusaha membawa edisi kali ini yang akan membuka tirainya selepas Hari Raya Aidlifitri ke tahap lebih tinggi apabila akan meningkatkan jumlah pemain kepada 3,000 orang selain meningkatkan pusingan kelayakan daripada tujuh kepada 10.

"Kami melihat sambutan menggalakkan daripada kedua-dua pemain dan ibu bapa bagi AJBC tahun lepas. Ini kerana kami satu-satunya penganjur kejohanan yang tidak meletakkan sebarang yuran penyertaan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain untuk bersaing dalam sistem liga badminton berstruktur.

"Kejohanan ini juga menyediakan ruang kepada kanak-kanak dari semua peringkat badminton untuk bersaing dan menikmati sukan ini. Selain daripada kejohanan itu, kami turut mengendalikan klinik badminton untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun oleh bekas pemain kebangsaan sebagai jurulatih." katanya.

Tambah Sean, Allianz Malaysia Berhad komited untuk membangunkan badminton di peringkat akar umbi, malah turut menyediakan pengangkutan untuk pemain dan ibu bapa ke pusingan kelayakan AJBC tahun lalu.

"Malah ketika Grand Final yang diadakan di Stadium Juara di Bukit Kiara, kami menyediakan pengangkutan dan penginapan untuk pemain dan ibu bapa kami dari luar stesen.

"Kami hanya melakukan apa yang diperlukan untuk menyokong dan membangunkan sukan ini. Walaupun perbelanjaan kami agak besar untuk AJBC, namun, kami tidak melihat hanya pada kos tetapi peranan kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada masyarakat," tambah Sean.

Tahun lalu, pemenang Grand final bagi semua kategori memenangi RM1,000, diikuti naib juara kedua (RM500) dan naib juara ketiga (RM200).

Kesemua tujuh pemenang pusingan kelayakan membawa pulang – pemenang (RM500), naib juara kedua (RM300) dan naib juara ketiga (RM100).

"Kami mempunyai salah seorang pemenang Grand Final yang kini sedang berlatih dengan kelab profesional tempatan sekaligus menunjukkan AJBC berjaya melahirkan pemain yang berbakat.

"Saya juga turut dimaklumkan beberapa pemain AJBC juga berada dalam radar beberapa kelab profesional tahun lepas, jadi ini satu perkembangan yang baik.

"Kami merancang menjemput pencari bakat kelab profesional untuk menghadiri AJBC 2023 supaya mereka boleh memilih pemain yang mereka fikir boleh pergi lebih jauh.

"Kami juga dalam perbincangan dengan pihak berkaitan untuk menghantar pemenang Grand Final tahun ini ke luar negara bagi menjalani latihan selama seminggu dengan Thailand atau Indonesia mungkin menjadi destinasi pilihan," ujarnya.

Disiarkan pada: February 15, 2023 @ 4:06pm
d