Badminton

Syarikat korporat harus manfaatkan insentif geran - KBS

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap lebih banyak syarikat korporat dapat memanfaatkan insentif geran padanan dan pengecualian cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Segambut itu, mengambil contoh Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin yang diadakan hari ini, beliau berpandangan ia bukan perkara yang mustahil untuk menarik syarikat korporat untuk menaja sesuatu pertandingan.

Justeru kata beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang merangka beberapa pelan termasuklah mengadakan lebih program kesedaran dalam usaha menarik lebih banyak syarikat korporat bagi menaja lebih banyak kejohanan yang dilihat mampu memacukan lagi industri sukan di negara ini.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada penganjur kerana kita dapat lihat sumbangan mereka dalam pembangunan sukan akar umbi seperti ini sangat penting.

"Pertandingan ini menarik lebih daripada 1,500 orang kanak-kanak. Satu penganjuran yang besar dan kita lihat ada pihak korporat yang memainkan peranan mereka.

"Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, insentif cukai yang Perdana Menteri umumkan, banyak membantu penganjuran seperti ini. Ini adalah kejohanan antarabangsa dan pembabitan ibu bapa itu sangat penting.

"Progres seperti ini tak akan berjalan sekiranya tak ada pihak korporat yang membantu. Sekiranya diluluskan, kita mungkin melakukan program kesedaran untuk membantu mereka membuat pengecualian cukai dan geran padanan supaya sedar akan penggunaan insentif ini," katanya.

Sebelum ini, pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Disiarkan pada: March 9, 2023 @ 7:48pm
d