Badminton

Aksi gugup hampir makan diri

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki professional negara, Teo Ee Yi mengakui agak gugup pada awal permainan ketika menyingkirkan pasangan Taiwan, Lee Yang- Wang Chi Lin di pusingan pertama Seluruh England, semalam.

Dia yang bergandingan bersama Ong Yew Sin mengakui perasaan gugup itu hadir memandangkan dirinya terlalu mencuba untuk memberikan aksi yang terbaik sekaligus menyebabkan kekalahan di set pertama.

Bagaimanapun Ee Yi memberitahu, dia cuba menghilangkan perasaan itu dengan bermain seperti biasa dan ia nyata berkesan apabila berjaya memenangi perlawanan itu sekaligus mara ke pusingan kedua.

"Saya tak rasa saya panik pada set kedua. Mungkin pada set pertama sebab ini adalah kejohanan Seluruh England, jadi saya cuba fokus untuk memberikan aksi yang memberikan aksi yang terbaik dan ia memakan diri kerana saya berada dalam tekanan.

"Jadi untuk set kedua, saya cuba menenangkan diri dan meminta maaf kepada Yew Sin. Sebab kalau kita kalah bersama menang bersama," katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, pasangan yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan mara ke pusingan kedua kejohanan badminton tertua dunia itu selepas menundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dengan keputusan 12-21, 21-16, 21-18 selepas bertarung selama 57 minit.

Dalam pada itu, Yew Sin memberitahu dia gembira apabila segala perancangan yang diatur sebelum perlawanan berjaya membuahkan hasil.

Jelasnya, dia berharap momentum yang dimiliki itu dapat dikekalkan menjelang pusingan kedua yang berlangsung Khamis ini.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 5:24pm
d