Badminton

Zii Jia mampu kembali bangkit

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki professional negara Lee Zii Jia, mengakui pencapaiannya mara ke separuh akhir Seluruh England 2023 disifatkan sebagai tonik terbaik untuk dirinya bangkit kembali bangkit selepas gagal mempamerkan aksi yang terbaik dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Terdahulu, badi tewas awal terus menghantui Zii Jia apabila tewas dalam empat kejohanan yang disertainya sebelum ini.

Zii Jia kecundang pada pusingan kedua Terbuka Malaysia diikuti ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

"Prestasi saya di sini (Seluruh England) membuatkan saya kembali percaya dengan kemampuan diri saya. Saya mengharungi permulaan musim yang sukar, saya sebenarnya meragui sama ada mampu kembali bangkit.

"Namun, saya sudah buktikannya pada kejohanan ini. Ya, ia mungkin sehingga separuh akhir saja tetapi saya mahu ambil pendekatan peringkat demi peringkat untuk saya menjadi lebih baik," kata Zii Jia dalam temu bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham semalam, hasrat pemain nombor dua dunia itu untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas tunduk kepada Shi Yuqi dari China 19-21, 13-21.

"Sudah tentu saya kecewa kerana tidak berjaya mara ke final. Saya fikir, Yuqi bermain dengan baik terutama dari segi strategi yang mana dia buat persiapan lebih baik," katanya.

Zii Jia selepas ini dijadual beraksi pada saingan Terbuka Switzerland yang bermula Selasa ini dengan dia akan membuka tirai kempen menentang pemain China, Li Shi Feng di pusingan pertama kejohanan.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 2:09pm
d