Badminton

Saya tak tahu apa dalam otak mereka - Rexy

Oleh –Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Memalukan. Itu disimpulkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas mula hilang sabar melihat prestasi anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin teruk terutamanya 'terkucil' seawal pusingan kedua di Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel malam tadi.

Malah, pengarah kejurulatihan yang berasal dari Indonesia itu turut 'bingung' hingga menimbulkan tanda tanya apa sebenarnya bermain di fikiran beregu lelaki nombor satu negara itu hingga tewas kepada pasangan di ranking lebih rendah daripada mereka.

Rexy berkata, sebagai pasangan yang memegang gelaran juara dunia, Aaron dan Wooi Yik sepatutnya mempamerkan aksi konsisten hingga mampu menempah slot ke final.

"Saya tahu tahu apa hal yang terjadi dalam otak mereka... Jelajah Eropah ini hasil mereka hanyalah pusingan kedua saja.

"Mereka hanya mencatatkan kemenangan dengan lawan yang biasa...sebagai beregu yang memegang gelaran juara dunia, ini adalah memalukan.

"Saya harap mereka ada rasa malu kerana lihat kepada ranking mereka seharusnya berada di peringkat akhir," katanya.

Pada pusingan kedua Terbuka Switzerland, Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 21-17, 16-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan mudah menewaskan beregu tuan rumah, Arthur Boudier-Minh Quang Pham menerusi aksi straight set 21-10, 21-10 di pusingan pertama Rabu lalu.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik masih belum merangkul sebarang gelaran pada saingan musim ini dengan pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada kejohanan Terbuka India Januari lalu.

Sementara itu, Rexy berkata, kemungkinan mereka beraksi sambil lewa adalah disebabkan masih berada di awan-awangan selepas memperoleh gelaran juara dunia.

"Pemikiran mereka masih merasakan sebagai juara dunia menyebabkan pasangan itu tetap enjoy pada penyertaan di jelajah Eropah," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 3:29pm
d