Badminton

Jun Hao waspada lawan dari Filipina

Oleh Syazwan Msar

Phnom Penh: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengambil sikap berhati-hati terhadap lawannya dari Filipina, Jewel Angelo Albo pada aksi suku akhir Sukan Sea Kemboja esok.

Kebangkitan skuad wanita Filipina selepas menumpaskan Malaysia tempoh hari seolah memberi amaran bahawa mereka boleh menjadi ancaman besar di temasya dwitahunan itu.

Jun Haoi berkata, kelebihan di atas kertas tidak boleh digunakan sebagai rujukan memandangkan pemain lawan sering membuat kejutan dengan menumpaskan pesaing yang lebih hebat.

"Untuk kemenangan hari ini, walaupun agak susah, saya berjaya untuk mengatasinya, dan harap ia sebagai permulaan yang baik untuk baki perlawanan seterusnya.

"Saya tidak pernah menentang pemain Filipina itu (Albo), mungkin balik ke bilik nanti saya perlu membuat analisa dengan jurulatih, melihat rakaman video gaya permainannya.

"Memang saya pemain pilihan di kejohanan ini, tetapi setiap pemain bertanding mesti ada niat untuk menang dan membuat persiapan yang terbaik," kata Jun Hao yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.

Sebelum itu, Jun Hao beraksi cemerlang dengan menumpaskan wakil dari Singapura, Joel Koh Jia Wei di pusingan kedua menerusi keputusan 23-21, 21-14 dalam aksi yang berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Sukan Morodok Techo.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 4:57pm
d